Wednesday, 16 May 2012

Sambutan Hari Guru 2012

Pada 16 Mei 2012, semua sekolah di seluruh Malaysia juga menyambut perayaan Hari Guru. SK Lengkuas juga tidak terkecuali. Hari Guru tahun ini disambut dengan meriah sekali dan saya berani cakap bahawa banyak sekolah yang lebih besar juga tidak semeriah SK Lengkuas. Walaupun sekolah kami ini kecil tetapi semua warga sekolah memberi komitmen yang cukup tinggi kepada sekolah. Bukan sahaja guru-guru dan murid-murid sahaja yang turut serta dalam sambuatan pada hari ini tetapi staf-staf sokongan dan juga para ibubapa juga turut mengambil bahagiaan dalam acara-acara yang telah dirancangkan.

 Seperti biasa, Sambutan Hari Guru dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku, lagu negeri Perak dan diikuti oleh ucapan daripada Guru Besar. Oleh sebab pagi ini Guru Besar ada hal yang tidak dapat dielakkan, Guru KoKurikulum SK Lengkuas menggantikan Guru Besar untuk memberi ucapan. Murid-murid beratur dengan kemas untuk mendengar ucapan daripada Guru KoKurikulum. Selepas itu, barisan guru SK Lengkuas bersama-sama menyanyikan lagu "Kami Guru Malaysia" dengan penuh semangat.

Selepas guru-guru menyanyi lagu, tibanya masa bagi murid-murid membuat persembahan kepada guru. Muri-murid menyanyi lagu "Terima Kasih Guru", mendeklamasi sajak dan juga pantun. Selepas itu, guru-guru, staf sokongan dan ibu bapa pun bersiap sedia untuk menyertai sukaneka. Cuaca mencemburui kemeriahan kami pada hari ini lalu menurunkan gerimis menyebabkan hanya satu acara sukaneka yang berjaya dijalankan. Oleh sebab hujan turun semakin lebat, guru-guru meminta murid-murid masuk ke dalam kelas untuk menyertai pertandingan mewarna.

Pada lebih kurang pukul 10.30 pagi, semua guru dan murid masuk ke dalam bilik media untuk menonton perutusan daripada Timbalan  Menteri Pelajaran Malaysia melalui siaran langung di TV1. Selepas itu, semua warga sekolah dijemput ke kantin untuk menjamu selera. Malangnya, saya terlupa mengambil gambar juadah yang disediakan. Hidangan-hidangan yang ada pada hari ini adalah seperti ikan Talapia bakar, pajeri nanas, acar, kerang rebus, ayam goreng, sambal, ulam-ulaman dan juga tembikai sebagai pencuci mulut. Masakan Kak Nor dan kawan-kawannya sememangnya tiada tandingan. Aromanya masih tertinggal di dalam rongga hidung hingga sekarang.






Setelah sekian lama, slot yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba iaitu upacara memotong kek dan upacara menyampaikan hadiah kepada guru-guru. Pada tahun ini, SK Lengkuas mempunyai tiga biji kek yang sedap-sedap belaka. Kek pertama disumbangkan oleh Kelab Guru SK Lengkuas, kek kedua disumbangkan oleh salah seorang ibubapa dan kek yang ketiga disumbangkan oleh Ahli Dewan Parlimen. Kek-kek tersebut dipotong oleh Guru Besar lalu dibahagikan kepada guru-guru, murid-murid, staf-staf sokongan dan ibu bapa yang hadir.
Selain memotong kek, murid-murid juga memberi hadiah kepada guru-guru yang disayangi dan guru-guru juga bertukar hadiah sesama sendiri. Saya berharap guru-guru janganlah kecil hati sekiranya gambar kalian tidak dimuat naik kesemuanya kerana sememangnya terlalu banyak.
Akhir kata, sambutan Hari Guru pada tahun ini sememangnya meriah. Selama tiga tahun saya mengajar di SK Lengkuas, tahun ini saya benar-benar dapat merasai intipati Hari Guru. Semoga sambutan Hari Guru pada tahun hadapan akan lebih meriah lagi. Sekian, terima kasih dan Selamat Hari Guru.

Wednesday, 9 May 2012

Cabaran Untuk Ke SK Lengkuas

Walaupun SK Lengkuas merupakan sebuah sekolah yang aman dan damai tetapi guru-guru yang mengajar di sana perlulah sentiasa bersiap-sedia untuk menghadapi halangan-halangan yang bakal menanti. Sebagai makluman, SK Lengkuas merupakan sebuah sekolah yang terletak 7 km dari jalan besar yang menuju ke Parit. Jalan untuk sampai ke SK Lengkuas adalah amat sempit dan hanya muat untuk sebuah kereta sahaja. Disebabkan SK Lengkuas di kelilingi oleh ladang-ladang getah dan kelapa sawit, cikgu-cikgu selalu akan berselisih dengan lori-lori yang besar belaka. Keadaan adalah agak membahayakan. Cikgu-cikgu SK Lengkuas semuanya akan memberi sepenuh perhatian setiap kali pergi dan pulang dari sekolah.


Selain jalan sempit, pokok-pokok yang sudah tua juga akan tumbang pada bila-bila masa. Saya telah mengajar di SK Lengkuas sejak tahun 2010 dan kejadian pokok getah tumbang telah saya alami sebanyak 4 kali. Kali terakhir berlaku kejadian pokok tumbang adalah pada semalam, 8 Mei 2012. Oleh sebab pokok itu bukannya besar sangat maka kami, empat orang guru bergabung tenaga untuk mengalihkannya.
Kejadian dalam gambar yang saya sertakan adalah berlaku pada 21 September 2010 pada pukul lebih kurang 7:40 pagi. Oleh sebab pokok itu terlalu besar, kami terpaksa menunggu penduduk kampung yang menaiki motosikal pergi mengambil gergaji rantai untuk mengerat batang pokok tersebut barulah guru-guru boleh masuk ke sekolah.

Selain, pokok yang menghalang jalan, sepanjang jalan ke SK Lengkuas juga penuh dengan selekoh tajam dan lubang yang dalam. Maka, sesiapa yang ingin melawat ke SK Lengkuas, silalah berhati-hati. Menjadi guru SK Lengkuas tidaklah semudah yang disangkakan. Seperti yang selalu disebut oleh orang kebanyakan, "Belum try, belum tau".

Tuesday, 8 May 2012

Pertandingan Catur Peringkat Daerah


Pada 29 Mac 2012 (Khamis), SK Lengkuas telah menghantar 3 orang murid untuk menyertai pertandingan catur peringkat PPD di SK Iskandar Perdana. Nama peserta yang menyertai pertandingan tersebut ialah Muhammad Amir bin Mohd. Fadzil (tahun 6), Nur Najilah binti Mohd. Fadzil (tahun 3) dan Nur Amira Aishah binti Mohd Fairus. Walaupun ketiga-tiga murid ini tidak dapat memenangi pertandingan tersebut, pertandingan ini merupakan satu pengalaman yang sungguh berharga bagi mereka. Diharapkan Najilah dan Amira boleh menyertai pertandingan tersebut pada tahun hadapan. Saya pasti mereka berdua akan terus berusaha untuk menghadapi pesaing mereka yang hebat-hebat belaka.