Seperti biasa, Sambutan Hari Guru dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku, lagu negeri Perak dan diikuti oleh ucapan daripada Guru Besar. Oleh sebab pagi ini Guru Besar ada hal yang tidak dapat dielakkan, Guru KoKurikulum SK Lengkuas menggantikan Guru Besar untuk memberi ucapan. Murid-murid beratur dengan kemas untuk mendengar ucapan daripada Guru KoKurikulum. Selepas itu, barisan guru SK Lengkuas bersama-sama menyanyikan lagu "Kami Guru Malaysia" dengan penuh semangat.
Selepas guru-guru menyanyi lagu, tibanya masa bagi murid-murid membuat persembahan kepada guru. Muri-murid menyanyi lagu "Terima Kasih Guru", mendeklamasi sajak dan juga pantun. Selepas itu, guru-guru, staf sokongan dan ibu bapa pun bersiap sedia untuk menyertai sukaneka. Cuaca mencemburui kemeriahan kami pada hari ini lalu menurunkan gerimis menyebabkan hanya satu acara sukaneka yang berjaya dijalankan. Oleh sebab hujan turun semakin lebat, guru-guru meminta murid-murid masuk ke dalam kelas untuk menyertai pertandingan mewarna.
Pada lebih kurang pukul 10.30 pagi, semua guru dan murid masuk ke dalam bilik media untuk menonton perutusan daripada Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia melalui siaran langung di TV1. Selepas itu, semua warga sekolah dijemput ke kantin untuk menjamu selera. Malangnya, saya terlupa mengambil gambar juadah yang disediakan. Hidangan-hidangan yang ada pada hari ini adalah seperti ikan Talapia bakar, pajeri nanas, acar, kerang rebus, ayam goreng, sambal, ulam-ulaman dan juga tembikai sebagai pencuci mulut. Masakan Kak Nor dan kawan-kawannya sememangnya tiada tandingan. Aromanya masih tertinggal di dalam rongga hidung hingga sekarang.
Setelah sekian lama, slot yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba iaitu upacara memotong kek dan upacara menyampaikan hadiah kepada guru-guru. Pada tahun ini, SK Lengkuas mempunyai tiga biji kek yang sedap-sedap belaka. Kek pertama disumbangkan oleh Kelab Guru SK Lengkuas, kek kedua disumbangkan oleh salah seorang ibubapa dan kek yang ketiga disumbangkan oleh Ahli Dewan Parlimen. Kek-kek tersebut dipotong oleh Guru Besar lalu dibahagikan kepada guru-guru, murid-murid, staf-staf sokongan dan ibu bapa yang hadir.
Selain memotong kek, murid-murid juga memberi hadiah kepada guru-guru yang disayangi dan guru-guru juga bertukar hadiah sesama sendiri. Saya berharap guru-guru janganlah kecil hati sekiranya gambar kalian tidak dimuat naik kesemuanya kerana sememangnya terlalu banyak.
Akhir kata, sambutan Hari Guru pada tahun ini sememangnya meriah. Selama tiga tahun saya mengajar di SK Lengkuas, tahun ini saya benar-benar dapat merasai intipati Hari Guru. Semoga sambutan Hari Guru pada tahun hadapan akan lebih meriah lagi. Sekian, terima kasih dan Selamat Hari Guru.